Sunday, March 30, 2008

MELAYUKAH KITA?

Melayukah kita?
jika hanya pada wajah
jika hanya pada mata
jika pada kulit sawo matang
jika berhimpun kita hanya berdansa?

Melayukah kita?
jika berbicara cengil dan melatah
jika surau kosong belaka
jika bersalam berlaga dada?

Melayukah kita?
jika bersidang bermanis muka
jika bersurai mula mencerca?

Melayukah kita?
jika hanya pada kata-kata
jika terlupa nahu dan tatabahasa?

Melayukah kita?
jika melihat keris hanya senjata
jika Melayu hanya sekadar nama
hingga mereka tersenyum
bertanya, itukah Melayu yang berbudi bahasa?



EKAHANI
Shah Alam
Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

SEBUAH PERMAINAN YANG DIATUR

Mari bermain layar
ambilkan sabut, jadikan perahu
renjis karat besi sebagai penambat
berombak tujuh lautan
air api angin.

Mari bermain unggun
ambilkan kayu, jadikan dapur
relai pecahan batu sebagai tungku
bergulung tujuh padang
api angin air.

Mari bermain awan
ambilkan kertas, jadikan wau
tabur cahaya persada
sebagai pengikat
berlipat tujuh lapisan
angin air api.

Lalu kita terlepas pandang pada sebuah pangkalan
lalu kita tecerai silau pada sebuah pelabuhan
lalu kita terputus jeling pada sebuah ampaian
air sudah mencurah sebuah kebasahan
api sudah memarak sebuah kepanasan
angin sudah mendesah sebuah kekeringan.

Marilah kita tamatkan rusuhan jalanan
akhirnya memakan ketuanan.


WAN AHMAD ISMAIL
Kuala Terengganu

Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

BUAT YANG BERGELAR YB

Mendukung niat terlalu jauh
dicagar menyeluruh
diaju janji perubahan
diteraju simbol perpaduan.

Lalu terdetik di daerahnya
menaruh keyakinan segala
mempertaruhkan perjuangan
membangun modal insan
ke arah sempurna dan mulia.

Inilah gerak yang cukup sinonim
diluah cakap semua dijamin
berlandaskan sikap muafakat diukir
berjuang yang cekap tidak siapa terpinggir.


SM SALIM
Bukit Gambir, Muar

Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

CATUR KEHIDUPAN

Seorang pejuang memintal akal
menjalin hari jauh
dengan semangat teguh.

Seorang raja terbatas gerak
menonton pertempuran
dengan debar kesudahan.

Sememangnya dunia adalah petak-petak persaingan
meninggalkan yang ketinggalan.

Barangkali kita harus membiarkan ratu
mengawal kuasa
membuka gerak bertingkah
melakar akal berarah
kerana seiring akal dan gerak
adalah lebih teguh
daripada semangat bersungguh
dan sebuah hidup yang dicaturkan
menjadi batas-batas gerak
dalam mainan kewarasan
meninggalkan yang ketinggalan.



NISSA' YUSOF
Shah Alam

Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

RUMAH BAHASA

Mari kita bina rumah bahasa
tempat berteduh pengikat cinta
satu keluarga.

Binalah rumah bahasa
walau kita berada di mana jua
hatta di desa pingitan
atau di kota metropolitan.

Rumah ini lambang maruah diri
kita bukan hidup merempat
memohon simpati
yang layak dihina dan dicaci.

Mari kita bina rumah bahasa
serlahkan tamadun nusa
kita bangsa berjiwa perkasa
halus budi dan penuh seni.

Rumah bahasa perlu dijaga
kerana inilah pusaka
buat anak cucu kita.

Usah dibiarkan terjadi
rumah bahasa siap
tetapi pahat masih berbunyi
atau ada yang mewarisi
lagak Pak Kaduk
ada rumah bertandang duduk.



M ARIF
D' Perdana, Bachok.

Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

Saturday, March 29, 2008

SETELAH BERDIRI DI PUNCAK CEMARA

Setelah berdiri di puncak cemara
tanggungjawab dipikul itu utama
meskipun diancam ribut segala
berpantang undur tidak sekali.

Bawalah misi keagungan
martabat bahasa tercinta
semakin gagah di puncak
bertambah khazanah
terhimpun dari perut bumi
ke angkasa raya.

Kata Hang Tuah:
"Tak akan Melayu hilang di dunia
di ruang masa tambah bijaksana
menjana keilmuan mantap di jiwa.

Marilah kita bangkit
meletak budaya santun berbudaya
nilai murni amalan segala
tidak goyah sementah usia
bertambah suci kasih di kalbu.


A HAMID JEMAIN
Johor Darul Takzim.

Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

AKU SERPIHAN KACA YANG TERBIAR

Aku antara serpihan kaca yang terhempas
terbiar di pesisiran jalan
disepak dihenyak dihempas sesuka rasa
lantaran aku serpihan kaca
kerana aku bukannya berlian berharga
kerana aku antara sampah jalanan
tiada nilaian harga
tiada insan yang sudi mengutip aku
menjadikan barang hiasan
kerana aku hanyalah sebutir kaca.

Andai aku digilap,
dihias diukir secantik nian
pasti aku lebih indah daripada berlian
walau aku hanya sebutir kaca
tapi aku tetap gemerlapan
dengan caraku sendiri
pasti nilaiannya setinggi mutiara
kerana kalian mudah terpedaya
dengan kecantikan zahir semata.

NOR HAYATI NAWANG
Perpustakaan Negara Malaysia

Berita Minggu, 30 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073157/Article/

Monday, March 10, 2008

SEHELAI KERTAS UNDI

Lima tahun sekali
pilihan raya umum pasti
datang
bersama nafas senyuman
antara duka dan gembira
di bibir waktu.

Membawa rahmat bagi rakyat
berbilang bangsa yang
berikrar
pada sebatang kalam
sehelai kertas undi
penuh kudrat dan iradat.

Di hujung jejari calitan rahsia
untuk melaksanakan tugas
suci kepada negara
kerana ingin menutup segala
kesangsian
sesama mencari damai
sejahtera
pada bumi subur ini
penuh kerawanan dan
harapan.


JANTAN SAAD
Taman Subang Baru

Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

HATI YANG KEMBALI

setelah mencipta sejarah
pergi meninggalkan mimpi
dalam kesepian yang biru.

Kau menjelma kembali
sebuah karya fantasi
diukir menjadi realiti
demi sebuah kota citra
imaginasi pelangi bangsa.
Kau menjelma kembali
setelah berkurun di mentari
pulang membawa setangkai
rindu
dan sekuntum janji yang pasti.


ADILAH RIDUAN
Beseri, Perlis.

Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

RISAU YB DI HARI PILIHAN RAYA

Tiada lagi kata-kata bernada
amarah
hanya minta untuk dipilih lagi
ketika itu hilang malu
kerana yang utama
menjulang piala di medan
pilihan raya.

Hari ini kaum marhaen ibarat
anak emas
kerana pilihan mereka
penentu berkubur agenda
atau berputih mercup
ketika ini satu persatu
gambaran silam muncul di
mata sayu
debaran memuncak bagai
menanti
letusan gunung berapi.
Luka pengundi belum terubat
mengenang perbuatan YB
yang
ghairah berjanji
wajah simpati dijaja di sana
sini.
Inilah nasib
YB yang tenggelam timbul di
akar umbi
tanpa melunas sepenuh hati
mahu menghalalkan cara
kini menagih kejayaan
sepenggal lagi.



A HAMID JEMAIN
Jalan Datuk Hj Kosai, Muar

Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

SINAR DEMOKRASI

Bagaikan pesta
musim sandingan manifesto

menjenguk lagi
lagu tawar-menawar melunak
ke pelosok negeri
cahaya demokrasi terus
menyinari
rakyat penilai bestari.

Tarian pena penentu kepimpinan
bakti terpuji menjadi galang
sinar ketelusan menjadi teras
kemajuan
biar bangga generasi glokal
biar teguh nusa tercinta.

Omongan lompang usah
dibiar terus membelit
usah amarah jadi ikutan
usah digadai generasi mendatang
biar kewarasan jadi landasan
biar generasi terus mendakap
kemajuan.

Ayuh murnikan jiwa
lunaskan kewajipan
kita berkuasa, kitalah tonggak
kita penentu warna pelangi
harapan
kita penentu gaya kepimpinan.


RAMLIE YAACOB
Sg. Aring, Gua Musang.

Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

DI ATAS KERTAS UNDI

Di atas kertas undi
ada percaturan
tercetak pilihan
berpena kebijaksanaan.

Di atas kertas undi
ada perbalahan
berbeza ideologi
berpaksi perasaan.

Di atas kertas undi
ada amanah
menunaikan kewajipan
rakyat bertanggungjawab.

Di atas kertas undi
ada manifesto
janji-janji manis
memancing kemenangan.

Di atas kertas undi
ada masa depan
dipangkah yang hak
dinafikan yang tidak berhak.


RIDZUAN KAMIS
Sanggar Kayangan, Perlis.


Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

GURINDAM MARHAEN

Jikalau tuan malas ke kebun,
bagaimana tanaman akan
merimbun.

Ke sungai ke laut tuan tak mahu,
mustahil ikan melompat ke
perahu.

Hendak ke sawah kepala
pening, takkan padi tumbuh
menguning.

Jikalau pohonnya segan nak
toreh, susu getah tak akan
meleleh.

Kebun kelapa semak terabai,
habis buahnya kering dan
kotai.

Di dusun menjalar rumput dan
semak, di situ ular beranakpinak.

Berhari-hari tak jengok
bendang, bagaimana isteri tak
naik radang.

Tanah yang ada malas dikerjakan,
sampai bila-bila susah cari
makan.

Bercucuk tanam wajah tak
ceria,
berangan nak jadi jutawan
segera.

Orang galak berkebun sayur,
awak terlalak menjaja liur.

Di belakang rumah kolam
terbentang,
eloklah ternak ikan dan udang.

Melangut di warung
tanggungjawab dialpa,
perut berkeroncong nak suap
apa.

Leka bersembang mengungkit
sentiasa,
masa terbuang tercatit dosa.

Jikalau melebihkan bersuka
dan tidur,
orang ke hadapan kita mundur.

Negara hebat buminya subur,
paculah kudrat pasti makmur.


MOHD KASIM MAHMUD
PPJ Kota Tinggi.

Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

GORES DAN MENANG

Dihulur sekeping kertas
cuba gores lihat isinya
jika bertuah jadi kaya
tapi biasanya jadi papa kedana.

Hati berkeras mahu menolak
namun, nafsu terus mahu jadi
kaya
jika gores mengena tuah
nasib badan pasti berubah
menang diulang-ulang di bibir
kalah hanya mampu berbisik.

Gores sekeping kertas
boleh jadi kaya firasatnya
akal manusia terkadang
keliru
tiada jalan semudah itu
hanya dengan gores terus
menang
lantas boleh hidup senanglenang!


ZABRI ZAINAL ABIDIN
Anjung Sena, RPPJJ USM

Berita Minggu, 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309054507/Article/

Sunday, March 2, 2008

17 ZULHIJJAH 1428 BENAZIR TERBUNUH

karya
DAENG RAMLIAKIL




Demi mengejar pilihan raya yang kaku dan jahat
Parti Rakyat Pakistan memperisaikan wanita
lulusan Havard dan sebelumnya Convent of Jesus and Mary Karachi
siapa pun Puan, yang pasti peluru menembusi leher dan dada
nyawa jua roh pun terbang menerusi liang yang terbuka.

Rawalpindi dungu sebenarnya
lebih dungu katimbang Washington, Baghdad mahupun kini, Paris
ada manusia yang kerja mestinya memakmur bumi
tapi dibunuh dengan marah nafsu
sebuah dataran yang penuh terisi insan Islam
duhai Musyaraf, di mana imanmu?
Alahai ketua-tua tentera dan polis
di mana iman kalian?
Hingga terjadi di bumi Islam yang wajibnya menyelamatkan.
Siapapun kami, Malaysia ini tetap menjunjung keimanan
sejahat dan sebusuk manapun musuh politik
yang tetap dilihat, iman
jika tidak, rupa manusianya
hingga tiada yang 'mati' walau darahnya merah.

Sudah mati aku rupanya ucap hati Benazir
rohnya tidak berjasad lagi dan mesti berdepan
seluruh rekod dosa dan kebajikannya
sejak lahir hingga semalam
dan hingga akhirat, andai ada hartanya yang haram tersimpan
jenuhlah menjawab soalan diri perihal dosa
andai ada harta rakyat dicuri.

Benazir, kulihat wajah akhirmu pucat lesi
sejam sebelum mati
walau Puan tahu akan ditembak
cuba berani degil diri hingga alpa
seksaan alam barzakh yang pasti, yang pasti
nyata kesilapan manusia ini
mahu merebut kerajaan sebuah negara
yang janjinya kaya raya, kaya raya, berkuasa pula
[tapi sebenarnya mencelakakan roh mana-mana manusia]



UPM
Berita Minggu, 20 Januari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080120103115/Article/

DENGAN BAHASA API

karya
WADI LETA S.A.



Dengan bahasa api
mereka berhujah tentang kertas
maka terbakarlah dewan dan pentas
debu dan asap memenuhi
lantai yang panas.

Dengan bahasa api
mereka bertelagah tentang tali
maka leburlah jalinan ukhuwah
antara meja dan kerusi
antara dinding dan kipas.
Dengan bahasa api
mereka berbantah-bantah tentang bunga
maka gugurlah kelopak-kelopak keindahan
di taman yang dipenuhi duri
di halaman yang dipenuhi kaca.

Dengan bahasa api
mereka berbalah tentang bulan
maka reduplah langit kehidupan
muramlah bumi dilitupi kegelisahan
tiada lagi nyanyian membuai kebahagiaan.


Kota Bharu, Kelantan.
Berita Minggu, 20 Januari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080120103115/Article/

YANG PERTAMA

karya
MUIZZAH SHUKRI




Bukan mudah menjadi yang pertama
yang terbiasa di depan menjadi ketua
pabila tiba di akhirat sana
amanah tergalas bakal ditanya.

Bukannya mudah menjadi yang pertama
kadangkala terjatuh ke tempat kedua
tersungkur ke angka tiga
kerana dunia seperti roda
hasad dengki musuh utama
banyak terkesan di hati manusia.




Terengganu.
Berita Minggu, 20 Januari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080120103115/Article/

DIARI PERJALANAN

(Mengenang Musim 2007)

karya
HUSNA NAZRI



Kubaca tinta kembara yang sarat menakung
di lembaran diari perjalanan
menghitung aksara usia yang terakam
dalam nafas kehidupan
antara jalan songsang dan derap keterlanjuran
seorang lelaki musafir yang kehilangan
peta kebenaran menjejak kembali nur peribadi
dalam ratib doa mengapung wirid nasuda
ketika tidak terempang sungai air mata melimpah
di hamparan sejadah
mengenang dupa serakah dan bau dosa yang menyelinap
di perkebunan atma dalam sesal yang panjang.

Fajar Dhuha yang berkemilau di hujung mentari hari
pada tanggal aksara musim yang bertandang
adalah roda kembara yang menghimpun harapan
buat kuziarahi dengan segumpal azam mengiring
wadah perjuangan
di tengah siur kealpaan dan libur kelekaan
menguntumi jambangan nurani biar melebat
mawar ketakwaan yang tumbuh di laman peribadi.

Diari perjalanan yang kulewati
menjadi kompas yang memandu arah
melestari kembara berakah
saat melayari bahtera hayat
dengan setanggi tawakal melengkapi
biografi perjuangan
tanpa gentar menyerah
tanpa debar mengalah.


Langkawi - Kemaman
Berita Minggu, 20 Januari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080120103115/Article/

KUPILIH DIKAU 3

karya
ADNAN AM



Kupilih dikau
sebutir permata di selut kemelut
kugilap dengan perca keyakinan
kugenggam teguh di lafaz pernikahan.

Pada saat bimbang merasuk
kupilih di kau
ubat payau penawar risau
ubat pahit penyembuh penyakit
kau demah dahiku dengan suam setiamu.

Terima kasih memilih aku
pesakit kritikal tak punya apa
bakarlah setanggi rindumu
asapkan kemeyan kasihmu
tarikan ulik mayang
di atas hamparan mesramu.


Batu Kikir, Negeri Sembilan
Berita Minggu, 20 Januari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080120103115/Article/

SELOKA MENJELANG PILIHAN RAYA

karya
MOHD KASIM MAHMUD




Ajaib sungguh pilihan raya
di mana-mana orang bercerita
di warung di pejabat sama sahaja
di kampung di bandar demikian juga.

Ada yang asyik memasang angan-angan
moga datanglah tuahnya badan
diangkat sebagai calon pilihan
merebut kerusi yang jadi kegilaan
bolehlah kerabat pelbagai jawatan
tak lagi susah nak cari makan
awas, jangan sambar yang bukan kepunyaan
kalau terdakwa lari handai taulan
tiada sesiapa hendak pertahankan.

Kaum marhaen pun berangan sama
mahukan subsidi dan bantuan selamanya
kebun dan bendang hasilnya berganda
gaji dan elaun ditambahkan pula
harga barang dijamin rendah sahaja.

Ajaibnya memang pilihan raya
medan manusia mengatur agenda
benar tidaknya sering tertunda
emosi terpancing menyesal tak guna
oleh itu baiklah berwaspada
pintar mengenal kaca dan permata
demi kebahagiaan anak cucu kita!


PPJ Kota Tinggi.
Berita Minggu, 3 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080203094800/Article/

GURINDAM MENGHINDARI HASAD DENGKI

karya
NAZIM MOHD SUBARI




Hasad dengki racun masyarakat
jangan dibiar meruntuh muafakat.

Besar bahaya penyakit hati
jiwa kotor hendaklah diubati.

Kalau melihat kesenangan orang
baik berusaha menambah yang kurang.

Kalau gagal dalam persaingan
bangkit semula bermusuh jangan.

Kalau jawatan terlepas di tangan
hormati pengganti kekalkan hubungan.

Kalau ditegur berbuat salah
berfikiran terbuka tangani masalah.

Kalau bercanggah pendapat bicara
bertolak ansur sebaik cara.

Kalau berdengki bermasam muka
semai sikap berbaik sangka.

Kalau berselisih perlu bermaafan
mulia manusia maju ke hadapan.

Kalau berjaya usahlah angkuh
merendah diri berperibadi kukuh.

Kalau dapat dielak dengki
bersih hati mensyukuri rezeki.

Kalau hasad dengki mampu dihapus
bangsa bermaruah takkan pupus.



Endau, Johor.
Berita Minggu, 3 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080203094800/Article/

SEKUMPULAN HITAM

karya
WAN AHMAD ISMAIL



Sekumpulan kambing hitam
bertemu sekumpulan ketam
berbincang bertukar haluan
kambing mahu menjadi putih
ketam mahu ikutnya bertatih.

Tanpa bertukar warna
kambing membuat bencana
tanpa berjalan betul
ketam menjadi bahlul
sama-sama bergerak
sama-sama berak
sama-sama tegak
sama-sama teriak.

Bukan salah mereka yang dihitamkan
bukan salah mereka yang dibelokkan
salah yang menamakan
salah yang menandakan.

Lalu sekumpulan gagak melebarkan sayap
memberikan teduhan yang mengharap
gagak itu yang lupa memakai ketayap
mereka juga yang ternakan suap.

Lalu mereka melihat dengan penuh matang
seperti itik pulang petang.


Kuala Terengganu
2 Januari, 2008
Berita Minggu, 3 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080203094800/Article/

PEJUANG, PETUALANG

karya
RIDZUAN KAMIS




Kadang-kadang petualang
yang kecundang
disanjung daripada pejuang
yang menang.

Petualang dianggap pejuang ulung
pejuang dianggap petualang malang.

Petualang dijulang penuh gemilang
pejuang dibuang hanya dikenang.

Petualang bak pohon jelatang
pejuang bak bunga kiambang.

Petualang berjuang kerana kuasa dan wang,
pejuang berjuang kerana kuasa dan undang-undang.

Mengapa petualang
yang kecundang
disanjung daripada pejuang
yang menang?


Sanggar Kayangan, Perlis.
Berita Minggu, 3 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080203094800/Article/

SEJENAK INI

karya
FUDZAIL




Kehidupan dari layar ke layar
merentas musim menjalar
sejenak ini, meminjam kesempatan
membingkai indah perjalanan
dari ruang hati yang hinggap
merawati luka di hujung sayap.

Penat merentas gurun
menjejak sisa-sisa karun
daripada kilauan pasir emas
keringat di antara hampas
saujana rindu penuh nikmat
biar sumbang sekujur jasad.

Perantau pun mewarna hari
di mata tekun memerhati
waktu telah berlari
jauh berlegar tanpa destinasi
dengan jejak-jejak seribu mimpi
mengekori setiap wajah memori!



Palm Jebel Ali
26 Dis 2007
Berita Minggu, 3 Februari 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080203094800/Article/

KEPALA TREM, GERABAK DAN LANDASAN

karya
M. ARIF



Pada satu hujung minggu
berkata seorang imam tua
dalam kuliah Subuhnya
di sebuah masjid kota,

"Wuduk dan solat yang elok
adalah kepala trem yang baik
gagah mengheret gerabak amal
meluncuri landasan keimanan
meninggalkan platform lara
menuju stesen bahagia
di negeri abadi."

Kata imam tua itu lagi
mengakhiri kuliahnya,

"Kepala trem, gerabak
dan landasan
menjadi analogi kehidupan
buat seorang abid
dalam menerajui kitaran alam."

Tiga jemaah di hadapan imam
mengangguk faham
tetapi ramai di luar sana
lena sewaktu trem itu berlalu.


PDG. MOKAN, KELANTAN
Berita Minggu, 3 Februari 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080203094800/Article/

Saturday, March 1, 2008

SIMFONI CINTA WARISAN

karya
IHSAN NOORZALI




Semalam anak-anakku
dengan hati seorang ayahanda
kita bercerita tentang cinta
yang mengalir di sungai diri
bertebing perasaan
tentang bagaimana kita
mempertahankan kesetiaan
menganyam rindu kepada
kekasih bernama warisan.

Malam ini bertemu lagi
anak-anakku
kita menukang kata
mencari lazat cinta
biar embun di laman
mendakap rumput
ketika menanti percakapan
tangan kita
yang memungut nasib

Kerana apa ertinya intelektual
dan makna kebijaksanaan
berbicara menjulang
globalisasi
sedang saat warisan bangsa
sungai jernih hidup ini
sepi di pinggir diri.


UPSI
Berita Minggu, 17 Februari 2008



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

RESOLUSI

karya
HUZAIFAH ZULFAKAR



Bukan pena menggugah
lakaran jiwa
tetapi tinta yang merdeka
mampu mengubah
setiap yang enggan longkah.

Bukan berus melukis halus
sukma
tetapi warna yang terpilih
mampu mengalih
gelora di kanvas kasih.

Niat dan tingkah
biar senada sama langkah
usah benarkan tindak dan
azam bagai bunga api malam
tahun baru cepat terpadam
bersama resolusi serupa kerap
berulang
yang mati sebelum sempat
terbit mentari awal Januari.


Allson Klana Resort
Berita Minggu, 17 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

SUARA YANG KITA DENGAR

karya
IZANI ZAKARIA


Suara yang kita dengar
hanya di corong pembesar
suara
suara rendah bertukar tinggi
suara halus berubah besar
suara kering menjelma basah
suara jelik menjadi merdu.

Suara yang kita dengar
hanya di corong pembesar
suara
suara tinggi ditukar rendah
suara besar berubah halus
suara basah menjelma kering
suara merdu menjadi jelik.

Suara yang kita dengar
hanya di corong pembesar
suara
percaya atau sebaliknya
suara yang kita dengar
hanya di corong pembesar
suara
yang telah melalui sebuah alat
bernama 'amplifier' atau
'komputer'.




Kuala Lumpur
Berita Minggu, 17 Februari 2008



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

KALAU NAK TAHU ORANG YANG RUGI

karya
EHSAN JAMILY




Orang sudah bangun pagi
dia masih diulit mimpi
orang sudah ke sawah padi
dia masih di rumah lagi.

Orang sudah berjalan pergi
dia masih menunggu menanti
orang sudah jauh berlari
dia masih tercegat berdiri.

Orang merebut peluang
diberi
dia langsung tak ambil
peduli
orang untung berguni-guni
dia termenung menggigit
jari.

Orang belajar di IPT
dia belajar di pusat serenti
orang mendapat jawatan
tinggi
dia merempat menjadi kuli.

Orang berusaha sepanjang
hari
dia berangan syok sendiri
orang menabung berpeti-peti
dia berkabung menyesali diri.



Taman Desa Baru, Melaka
Berita Minggu, 17 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

MENDAKI GUNUNG KEJUJURAN

karya
MOHD IKHWAN JASMEE



Aku mendaki sebuah gunung
kejujuran
yang terjulang di puncak
kemasyhuran
di sebuah tebing kejayaan
di hujung rimba kehidupan.

Aku ingin memeluk gunung
itu
dengan tangan kegigihanku
terdakap di dada imanku
hampir di hati nuraniku.

Ya Rabb
permudahkan pendakianku ini
agar aku terus mengerti
makna kehidupan realiti
yang musnah daripada batuan
hasad dan dengki.




Serdang
Berita Minggu, 17 Februari 2008



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

AKU DAPAT MEMBACA HATIMU

karya
NORDIN SAAD



Kutelahi lakaran tuturmu
yang terpapar di kanvas sopan
adalah siraman air rindu
yang mengalir ke muara
sayang.
Kutahu di sebalik pelangi
hatimu
terlakar potret cinta
yang kausembunyikan
di celah-celah kelopak ragu
yang masih membeku dan
padu.

Kunanti mentari jujurmu
memancarkan cahaya kasih
setelah kulabuhkan ceritera
peristiwa

Laila Majnun dan Syah Jehan
setia
tapi bibirmu masih
dibelenggu malu.

Usah lagi kaumelipat helah
kerana aku dapat membaca
hatimu
yang sarat perlu dan mahu
untuk kutakhtai satu persatu.

Kupasti manik-manik iman
yang tertanam di sanubari
akan mengalungkan seutas
takdir
merungkai kusutan yang
melanda.




Sri Tunjong, Perlis.
Berita Minggu, 17 Februari 2008



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

LAYU MENJADI BAYANGBAYANG

karya
ISMAIL MOHAMAD



Mestikah kita menempuh
kesinambungan
sebegini di depan berantakan
suara-suara kemiskinan
kita terpegun dibelai
perubahan
kemakmuran di satu pihak
kemiskinan di sudut sketsanya
di atas nadi kemerdekaan
masih ada anak pribumi
kuntum-kuntum hari di
tangannya
layu menjadi bayang-bayang.




Kuala Lumpur.
Berita Minggu, 17 Februari 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

DAN PERGINYA SEORANG MARHAEN

(Mengenang Jeneral Suharto, 1921-2008)


karya
ZULFAZLAN JUMRAH


Setiap bebola zarah nafasmu
adalah deru sejahtera seorang
marhaen
yang menjunjung tampuk
kuasa
di singgahsana bertangga
seribu.

Dikaulah penjaga maruah
sebangsa
daripada selafaz ikrar Sumpah
Pemuda
mendamai telagah pincangan
kuasa
teracun jiwa tahu penawarnya
seembun kata memadam
segunung hasad lara
tanpa meminggir toleransi
bersama di tebing banjaran
nostalgia lama.
Dan perginya dikau
satria perkasa berperisai
marhaen
adalah kehilangan
yang tak tertebus pun
bunga jasa dan putik budinya
yang kautanam
di taman Nusantara kita.


UPM, Serdang.
Berita Minggu, 17 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217095713/Article/

KUASA TANGANMU

karya
RUSDI ABD RAHMAN



Butang izin ditekan
berkibar bendera harapan
kembang padu merayap
tatapan bersilang ganti
pada garis dan lakaran
pada rangkuman wajah
dan bentuk.

Perang unik ini melata indah
rakyat dijulang raja kebenaran
penentu segala penggerak
bermula saat giat
laungan hasrat
madah semangat
berkobar terlakar
meronta-ronta susunan coretan
ghairah bermain hiasan kata
dalam denyut pantas
aras warna nafas terkawal.

Tanpa henti sengit
detik bersaing
terujilah pintar minda
dan tindak warga
bukannya murah
korbankan maruah
cerdas penentu jalan
hayat bersama
kawal dan caturlah
hemah minda
dalam gerak tanganmu
berkuasa.


Johor Bahru.
Berita Minggu, 24 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

PERCAKAPAN KEPADA SAIYIDAH SYIFA'HANA

karya
SHAMSUDIN OTHMAN



Kini seluruh rinduku
telah Kaupugar Ya Rabb
berpurnama menanti dalam
dendam cinta
perjalanan yang penuh
teka-teki
sering menguji sabar munajat
yang diikat
oleh restu kasih sayang.

Saat seluruh
jendela rindu itu kubuka
tangismu
memecah syahdu iman
seorang ayah yang keliru
antara ikhlas dan syukur
antara pasrah dan tawakal.

Menatap wajah riangmu
mengajar aku lebih mengerti
makna segugus sunyi dan sepi
yang melingkar di nafas insani
pada setiap kali senyummu
terukir.

Puteriku, Saiyidah Syifa'hana
antara aku dan ibumu
kau adalah
penawar seluruh kedukaan
ketika aku mencari nurani puisi
yang hilang
di rimba perkahwinan.
Dan saat seluruh
rindu itu terbang
seperti camar
yang bebas di awanan
mengertilah bahawa
ada amanah
yang mesti disegerakan.


Madrasah Sham al-Johori.
Berita Minggu, 24 Februari 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

PUTIH

karya
MOHD ZAMRI ABDUL HAMID



Putih bukan sekadar warna
luntur saat zaman bertaut
tika siang memanggil,
malam menyahut pasti.

Kerana putih
sering menemani yang lain
dalam mencorak erti realiti
dalam meloret cebis fantasi
duniawi.

Bukan salah putih andai yang
lain kalut
bila putih payah menyahut
janji putih sentiasa berpaut
pada yang satu
dalam kalut
mencari sinar yang hilang
dalam kabut.

Putih
biar engkau sentiasa putih
kerana putih itu suci
kerana putih itu bersih
kerana putih takkan letih
mengharungi laluan jerih perih
untuk bertemu
yang Esa tanpa sedih
dalam ketentuan yang pasti,
lagi sahih.



Chuping, 8 Januari 2008.
Berita Minggu, 24 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

SEMENJAK NURIN KE SHARLINIE

karya
HASHIM YAHYA



Semenjak Nurin
sehinggalah ke Sharlinie
adakah kita akan terus
tidak menghiraukan anak jiran
yang berkeliaran
di taman permainan sendirian
ke kedai tanpa teman
di lorong pintas keseorangan
entah siapa teman
sepermainan
tidak menjadi kehairanan
usahkan merasakan sama
bakal kehilangan.

Kembalikan hak jiran
menegur anak kita
kembalikan hak kita
memarahi anak jiran
tali kekeluargaan antara kita
telah lama terungkai
kerana keegoan kita
sehingga memangsakan kita
sendiri?

Kembalilah kita menjaga
tepi kain orang lain
supaya tepi kain kita juga
diperhatikan
jadikanlah kanak-kanak itu
seperti anak kita
seluruh warga negara
tanpa mengira bangsa dan
agama.



Sek. 24, Shah Alam.
Berita Minggu 24 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

PILIHAN RAYA

karya
IR SHUHAILI CK



Awas!

Bila dia dipilih
dan dijulang puja
bila dia hidup dan menjadi raja
dada kepala kita
hanya jadi permaianannya
kita akhirnya
disepak ditendang
seperti bola
di tengah padang.

Pilihan raya kali ini
biar bijak buat keputusan
biar tepat buat pilihan
demi keamanan negara
terus gemilang
di persada dunia.


TNB Selangor
Berita Minggu, 24 Februari 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

RINTIHAN DI PINGGIR GAZA

karya
A HAMID HALIM



Rintihan di pinggir Gaza
sebuah penjara
penuh penderitaan
mengurung manusia-manusia
yang tidak berdosa
mengunci pintu rezeki timur
dan barat.

Rintihan di pinggir Gaza
sebuah hospital di hutan
belantara
peralatan daif ubatan
berkurangan
pesakit yang sakit
menunggu maut
seluruh dunia hanya mampu
memerhati.

Tiada lagi ketenangan
tiada lagi kedamaian
infrastruktur
disekat projek terhenti
bahana negara terkepung
tiada lagi jalan keluar.

Rintihan di pinggir Gaza
menyaksikan duka
di gurun sengsara
kanak-kanak perlukan zat
lantaran makanan dicatu
terpaksalah mereka
memapah kekuatan
mengharungi
waktu-waktu sukar.


Bandar Baru Bangi.
Berita Minggu, 24 Februari 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

ANTARA PENGAIL DAN PENYAIR

karya
WADI LETA SA



Kau mengail ikan di sungai
siang di laut malam
aku mengail ikan di pesisir
kehidupan.

Kau mengail berumpan
makanan
aku mengail berumpan
pemikiran dan perasaan.

Kau tahu di mana lubuk
di mana terumbu
aku tahu di mana kemanusiaan
di mana rindu.

Pernah kau diusik penunggu
diganggu hantu
pernah aku dibayangi duka
diselubungi pilu.

Sesekali kau pulang membawa
tangkapan rezeki
sesekali aku pulang membawa
tangkapan pengalaman.

Isterimu tersenyum
menyediakan lauk yang lazat
isteriku merungut melihat aku
melayani sajak.

Sungai dan laut menyediakan
ikan kebahagiaan untukmu
pesisir kehidupan menyediakan
ilham duka untukku.



Kota Bharu, Kelantan.
Berita Minggu, 24 Februari 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080224114458/Article/

SEGUGUS JANJI

karya
AMI MASRA



Ranumlah janji
di puncak setia
melebat di hati
rakyat jelata.

Ingat, janjimu
ditulis oleh-Nya
tertunaikah nanti
kepada pengundi?

Kau khalifah
di bumi Allah
laksanakan amanah
jangan berubah wajah.

Pemimpin memimpin
sebelum menurut
dan dipimpin
memberi pengikut
teladan terbaik
hati budi
biarlah cantik.

Segugus janji
akan dituntuti
di liang ukhrawi.




USJ 4, Subang Jaya.
Berita Minggu, 2 Mac 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

TANYA BAHASA KEPADA BANGSA

karya
MF KENCANA



i
Adakah
aku ditutur dalam
erti sejati murni.

ii
Apakah
aku dianiaya
oleh bangsa sendiri.

iii
Mengapakah
aku berada di bawah kawah
sedangkan bahasa asing
dijulang.

iv
Kalaulah
bisa berkata
akan kulontar beribu bicara.



Aswara KL.
Berita Minggu, 2 Mac 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

ANAK

karya
SABRI HASHIM



Anak siapakah itu?
Tunggang motosikal
kalah Valentino Rossi
laju dan bingit.

Anak siapakah itu?
Waktu sekolah
bolos ke pusat siber
bijak dan licik.

Anak siapakah itu?
Seluar londeh
nampak punat pusat
seksi dan menggoda.

Anak siapakah itu?



Jitra, Kedah.
Berita Minggu, 2 Mac 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

SUARA SENGKETA

karya
A AZIZ DERAMAN



Riuh-rendah suara sengketa
tergoyang tiang nusa kencana
laungan suara merembuk
istana
gajah sama gajah berjuang
si kancil di kepit gelanggang
mergastua resah terpaku
unggas diam terpinga kaku
ternakan kehilangan desa
layu pepohon cinta bangsa
kota mulai memunggah ibarat
luka bangsa belum terbebat
sampai waktu sukar sepakat
bumi makmur hilang berkat
pasti tertukar milik muktamad.

Dalam lupa kita menyanyi:
apabila bunga kembang
berseri
sang gajah tua keluar menari
lenggang kanan lenggok kiri
diundang menari seekor lagi.

Siapakah itu suaranya tinggi?




Kuala Lumpur.
Berita Minggu, 2 Mac 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

DRAMA PERTARUNGAN

karya
YUSMIYANI YUSOFF



Sebentar lagi babak
pertarungan bakal bermula
ketika gelanggang akan dibuka
di atas pentas kuasa
watak demi watak sudah
bersedia melakoni drama
pertelingkahan
dengan pencak dan silat
dengan keris dan tombak
menjunjung kebenaran
menjaja keadilan.

Para penyokong di bawah
panggung
kian galak bersorak
melontar kata beruncing suara
sumpah dan nista
demi menghalalkan cara
sebabak drama perebutan
menggapai kerusi kekuasaan.




Kemaman.
Berita Minggu, 2 Mac 2008


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

DENGAN SATU TAYAR

karya
NAZIM MOHD SUBARI



Dengan satu tayar
mereka mempamer aksi
ngeri dan berani
mereka memperaga lagak
keras dan bongkak
mereka memacu kenderaan
tanpa akal pertimbangan.


Dengan satu tayar
mereka mengangkat
kebiadapan
semata kepuasan dan ganjaran
ketika bangsa maju
mengorak teknologi baru
demi mengukuh keselamatan
mereka mengubah
kelaziman memilih kebinasaan.

Dengan satu tayar
mereka memecut ke hadapan
tetapi sebenarnya jauh
ketinggalan di garis kejahilan
salah menyanggah peraturan
tegar mencemar peradaban
menggadai maruah dan fikiran
di lorong kegelapan.




Endau, Johor.
Berita Minggu, 2 Mac 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

DI BAWAH PERDU MIMPI

karya
NAAPIE MAT




Sekuntum mawar gugur
di kaki langit
gemersik talkin bangkit
mengukur usia.

Singgah di puncak waktu
yang lesu
menyaring bisikan seekor
tedung
yang menyelinap di bawah
selimut mimpi.

Kau yang menghidu rahsia
cendana
yang berlingkar di bawah
perdu mimpi.



Kuala Kubu Baru.
Berita Minggu, 3 Mac 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

CAWAT BESI

karya
MUHA ANUN MOHD NOOR




Cawat besi
bukan cerita si pemakai
bukan isu si pembuat
bukan tudingan si penjual.

Tetapi
bicara nilai kemanusiaan
manusia yang tidak
bersahabatkan iblis
bertopengkan syaitan
manusia yang tidak
meletakkan nafsu
sebagai Tuhan
manusia yang beriman dan
waras akal fikiran.

Cawat besi
bukan provokasi tempelan
bukan publisiti murahan.

Tetapi
bicara ilmu
llmu peri penting manusia
dan belas kasihan
ilmu menahan amarah nafsu
dan kerakusan
ilmu mengurus fitrah
tanpa perlu kawalan manusia
hanya bentengkan
takwa dan takut
pada Tuhan
yang Maha Esa.




Jinjang Utara, Kuala Lumpur.
Berita Minggu, 2 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/

NANAR NEGARA

Karya IDANRADZI





Nanar pergolakan ini
berkiblat hanyir
kian membusung di hasrat getir
tidak terbalut nikmat luka
semalam
nazaknya kalut sengketa &
dendam.

Siapakah yang menanam
inai simpati
buat pembalut wawasan
& visi suci
jajahan minda ini adalah
paksi diri
merimbun gagasan
seluruh galaksi.

Selimut putih dunia
kian merah
dengan warna zaman
& era pasrah
kita warganegara penentu arah
kian melangkah menongkah
sejarah.

Jangan kata tidak jika
telah terngadah
jangan leka gundah jika
kian bertelingkah
ada gelanggang erat
buat kita bersembah silat
ada meja bulat buat kita
menyusun adat.

Kelukaan & ketentuan ini
adalah ujian Ilahi.



Jenaris Kajang.
Berita Minggu, 2 Mac 2008

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082109/Article/